PERLEMBAGAAN KELAB UMNO LUAR NEGARA


Sinopsis Perlembagaan Kelab UMNO Luar Negara (Untuk Perlembagaan penuh sila pergi ke ruangan Download)


1. Perlembagaan Seragam

Semua Kelab UMNO Luar Negara (Kelab UMNO) dicadang diwajibkan menggunakan Perlembagaan yang seragam yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

2. Kuasa Mutlak Majlis Tertinggi

Melalui penubuhan Jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara, Majlis Tertinggi berhak memantau dan berkuasa terhadap semua Kelab UMNO.

Di dalam Perlembagaan seragam ini kuasa tertinggi diletak pada Jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara yang dirujuk sebagai Jawatankuasa Tertinggi Kelab.

3. Susunan dan Pentadbiran Kelab

Bagi melicinkan pentadbiran Kelab dicadangkan susunan kelab merangkumi 3 peringkat:

(i) Pusat/Malaysia

 Jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara yang ditubuhkan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

(ii) Negara

Badan-Badan Perhubungan Negara ditubuh di negara-negara di mana Jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara memutuskan kewajarannya.

(iii) Bandar

Badan Perhubungan Negara, setelah berunding dan merujuk kepada Jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara, boleh menubuh Cawangan Kelab di bandar-bandar tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara diiktiraf sebagai Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara. Secara hieraki dibawahnya adalah Pengerusi-Pengerusi Badan-Badan Perhubungan Negara (misalnya dirujuk Pengerusi Kelab UMNO U.K., Pengerusi Kelab UMNO Amerika Syarikat, Pengerusi Kelab UMNO Indonesia) dan seterusnya Ketua-Ketua Cawangan (misalnya dirujuk Ketua Cawangan Kelab UMNO London, Ketua Cawangan Kelab UMNO Kaherah).

4. Badan Perhubungan Negara sebagai Penyelaras

Mengambil kira kesibukan pelajar-pelajar maka dicadangkan supaya bagi peringkat negara, Badan Perhubungan Negara Kelab UMNO bertindak sebagai badan penyelaras bagi memantau dan membantu cawangan-cawangan Kelab UMNO yang ditubuhkan di bandar-bandar tertentu.

5. Aktiviti Kelab UMNO

Tumpuan Kelab UMNO adalah kepada kebajikan pelajar dan rakyat Malaysia yang berada diluar negara.

6. Pengurusan

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negara adalah lantikan Jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara. Anggota lainnya adalah lantikan Pengerusi Badan Perhubungan Negara dan juga wakil-wakil dan cawangan-cawangan.

Diperingkat cawangan jawatan Ketua dan Timbalan Ketua hendaklah dipilih termasuk 15 orang ahli jawatankuasa yang lain. Beberapa pegawai dan 3 orang ahli Jawatankuasa boleh dilantik oleh Ketua Cawangan.

7. Tiada Cabang/Sayap Wanita/Pemuda/Puteri

Memndangkan majoriti pelajar dan rakyat Malaysia diluar negara adalah dan kalangan orang muda (40 tahun ke bawah) dan berkaliber (samada lelaki dan perempuan) maka difikirkan Kelab UMNO tidak wajar dipecah-pecahkan kepada sayap Wanita/Pemuda/Puteri, Lebih-lebih lagi ini akan menyulitkan beberapa cawangan yang tidak ramai ahlinya.

8. Keahlian

Kelab UMNO dicadang dianggotai hanya oleh warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputra berusia 18 tahun ke atas dan berada di luar negara.

Cawangan Kelab UMNO diberi tugas menerima atau menolak keahlian.

9. Pegangan dan Lantikan Jawatan

Setiap jawatan perlu dipegang selama dua tahun kecuali pemegang jawatan berhenti atau diberhentikan. Perlantikan baru akan dibuat jika pemegang jawatan berhenti atau diberhentikan bagi menyambung tempoh dua tahun tersebut.

Lantikan ini akan dibuat menerusi pilihan Jawatankuasa atau Pengerusi; mana-mana yang dipersetujui sebulat suara.

10. Laporan Kegiatan

Pada setiap tiga bulan Laporan Kegiatan yang merangkumi kegiatan serta mesyuarat yang diadakan perlu dibuat dan diserahkan kepada Badan Perhubungan Negara di zon masing-masing serta kepada Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara di Kuala Lumpur.